Segalanya Kerana Niat
Oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin
Menjelang ramadhan
setiap kita berusaha meningkatkan pembersihan jiwanya. Mendekatkan diri kepada
Allah. Mengakui sesuatu yang benar itu benar sekalipun ia menyanggahi
kepentingan dan kehendak diri kita. Mengakui yang salah itu salah, sekalipun
kita sudah terbabit dengan yang salah tersebut.
Ini bukan sesuatu yang
mudah, ia memerlukan kekentalan jiwa yang dibina di atas niat yang ikhlas dalam
perjuangan hidup di atas muka bumi ini. Hidup yang berteraskan keyakinan bahwa
setiap kita akan menghadap Allah SWT dan
Dia menghisab segala amalan baik dan buruk yang telah kita lakukan.
Perjalanan hidup insan
sebenarnya mewakili apa yang tersirat dalam jantung hati, atau niatnya.
Perbuatan yang dilakukan dengan rela dan pilihan sendiri adalah tafsiran kepada
niat, kefahaman dan tujuan hidup seseorang insan. Tidak lebih daripada itu.
Bahkan apa yang dirancang, keinginan, harapan yang akhirnya menjelma dalam
bentuk tindakan, berpunca dari niat.
Justeru dalam hadis
dari pada Umar bin al-Khattab r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya setiap
amalan itu hanya dengan niat. Dan sesungguhnya setiap orang hanya mendapat
balasan mengikut apa yang diniatkan. Sesiapa yang berhijrah untuk mencari duniawi
atau untuk mendapatkan wanita yang ingin dikahwini, maka (pahala) hijrahnya itu
mengikut niatnya.” (Riwayat al-Bukhari).
Salah Faham
Sebelum kita tersilap
faham, niat bukanlah seperti yang dibayangkan oleh setengah pihak yaitu :
ucapan di lidah “sengaja aku
berniat sekian dan sekian..”. Sama sekali tidak. Itu hanyalah ucapan lidah, belum tentu
mewakili tujuan sebenarnya. Niat juga bukan perkataan yang di atur dalam minda
yang menyebab ramai orang yang tidak faham berulang kali kononnya melafazkan
‘niat’, sehingga terganggu solat, puasa, iktikaf dan seumpamanya.
Niat
adalah : ke’azaman
seseorangan untuk melakukan sesuatu tindakan. Didalamnya merangkumi segala yang
tersirat di sebalik sesuatu perbuatan. Tepat bak kata tokoh ilmuwan terkenal
al-Hafiz Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):
“Niat ialah tujuan dan
‘azam melakukan sesuatu. Tempatnya di hati. Tiada kaitan dengan lidah sama
sekali. Justeru itu, tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat sebarang lafaz bagi
niat. Tidak pernah kita dengar hal ini dari mereka. Segala lafaz yang
diada-adakan sebelum bersuci dan solat telah
syaitan jadikannya medan memerangi golongan yang was-was.
Syaitan memenjara dan
mengazab mereka dengannya. Dia menjadikan mereka berusaha membetulkan lafaz-lafaz
itu, sehingga anda lihat ada yang mengulang-ulang dan berhempas pulas dalam
mengucapkannya. Padahal ia langsung tiada kaitan dengan solat. Sebaliknya niat
itu ialah tujuan sesuatu perbuatan. Setiap yang berazam melakukan sesuatu, dia
telah berniat. Tidak tergambar terpisahnya perbuatan dengan niat kerana
perbuatan itu adalah hakikat niat. Tidak mungkin tiada niat sedangkan wujudnya
perbuatan.
Barang siapa yang
duduk untuk berwuduk maka dia telah berniat hendak berwuduk. Barang siapa yang
berdiri untuk bersolat maka dia telah berniat untuk bersolat. Tiada seorang
yang berakal melakukan sesuatu ibadah atau selainnya tanpa niat. Niat merupakan
perkara semestinya wujud bagi tindakan insan yang disengajakan. Tidak perlu
bersusah payah dan berusaha mendapatkannya. Sekiranya seseorang ingin
menghilangkan niat dari perbuatan pilihannya, nescaya dia tidak mampu. Jika
Allah mewajibkan solat atau wuduk tanpa niat, maka Dia mewajibkan apa yang
insan tidak mampu. Ia tidak termasuk di bawah keupayaan insan. Kalau begitu,
mengapa bersusah payah untuk mendapatkan niat?.
Sesungguhnya syak
dalam memperolehi niat adalah sejenis penyakit gila. Sebab, pengetahuan
seseorang tentang keadaan dirinya adalah sesuatu yang yakin. Bagaimana mungkin
seorang yang berakal syak tentang niat dirinya. Seseorang yang berdiri belakang
imam untuk menunaikan solat dzuhur;
bagaimana mungkin dia syak mengenai tujuannya?! Jika seseorang memanggilnya
untuk sesuatu urusan ketika itu, nescaya dia berkata: aku ada urusan, aku ingin
solat dzuhur. Jika seseorang bertanya
kepadanya ketika dia keluar menuju ke tempat solat: awak hendak ke mana?
Nescaya dia berkata: aku hendak solat dzuhur bersama imam. Jadi, bagaimana
mungkin seorang yang berakal ragu-ragu mengenai hal ini dalam dirinya sedangkan
dia mengetahuinya secara yakin”(Ibn Qayyim, Ighathah al-Lahfan min Masaid al-Syaitan, halaman
144).
Dr
Yusuf al-Qaradawi pula menyebut :
Niat ini adalah amalan
hati semata. Bukan amalan lidah. Tidak diketahui daripada Nabi s.a.w., tidak
juga dari para sahabah dan para tabi’in yang mengikut mereka dengan baik -yang
merupakan salaf umat ini- sebatas lafaz
bagi niat ibadat, seperti solat, puasa, mandi, berwuduk dan seumpamanya, apa
yang kita lihat sebahagian manusia bersungguh-sungguh melakukannya, seperti
mereka menyebut: Aku berniat mengangkat hadas kecil, atau besar, atau solat
zohor, atau asar empat rakaat kerana Allah Yang Maha Besar, atau aku berniat
puasa esok hari pada bulan ramadan dan sebagainya. Ini semua tidak dibawa
(diajar) oleh sebarang ayat al-Quran atau Sunnah. Tidak ada faedah baginya, di
mana seorang insan tidak akan berkata ketika hendak ke pasar: aku niat hendak
ke pasar. Atau ketika dia hendak bermusafir: Aku niat bermusafir. Al-Zarkasyi
dalam fatwa-fatwanya memetik perkataan al-Ghazali: “Urusan niat dalam ibadah
itu mudah, namun apa yang menyusahkan ialah disebabkan kejahilan dengan hakikat
niat atau (disebabkan) was-was” (http//:qaradawi.net).
Salah Niat
Penegasan niat sering
kita sebutkan apabila hendak solat, puasa, zakat, haji dan ibadah-ibadah khusus
yang lain. Malangnya, itu pun dengan konsep yang ‘silap’ seperti yang dijelaskan oleh dua tokoh
ilmuwan di atas. Sehingga ada yang mempersendakan konsep niat dengan membuat
ungkapan-ungkapan yang kononnya mewakili niat, walaupun ada maksud tersirat yang lain.
Berapa banyak operasi
kewangan yang menggunakan nama ‘Islam’ dengan berbagai
lafaz ketika akad, tetapi maksud yang tersirat berbeza dengan lafaz di lidah.
Maka berbagai keuntungan yang sebahagiannya mempunyai unsur penindasan dan
kesamaran dibuat atas nama Islam dengan kata-kata yang indah, walaupun niat
sebenar amat berbeza. Sebabnya? Orang kita faham niat itu bermaksud lafaz.
Maka niat atau
hasratlah yang tersirat di sebalik setiap tindakan. Kita diperintahkan untuk
mengikhlas niat kerana Allah dalam ibadah. Membetulkan tujuan setiap tindakan.
Inilah yang menjadi antara tujuan utama pendidikan Ramadan. Justeru itu Nabi
s.a.w menyebut dalam hadis qudsi:
“Semua amalan anak
Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untukKu dan hanya Aku yang
membalasnya” (Riwayat al-Bukhari).
Puasa adalah
manifestasi keikhlasan yang ada dalam jiwa. Tiada siapa yang boleh tahu
seseorang benar-benar puasa atau menipu melainkan Allah. Puasa bukan pergerakan
jasad yang boleh dilihat, tetapi pengawalan dalaman diri yang hanya diketahui
oleh Allah.
Jika ruh puasa dibawa
dalam kehidupan, maka pasti banyak masalah umat Islam hari ini dapat
diselesaikan. Umat kita hari ini fakir dan miskin ‘niat yang ikhlas’ dalam banyak keadaan. Walaupun niat tidak
dapat kita lihat, namun sebahagian besar tindakan dan perbuatan insan mampu
memberikan tanda atau menafsirkan niat yang tersirat.
Kita kemarau
keikhlasan dalam ilmu, pergaulan, persaudaraan, politik, muamalat dan berbagai
cabang kehidupan. Inilah krisis kita. Setiap kita, termasuklah yang menduduki
tempat yang penting dalam masyarakat menyimpan niat yang berbagai. Politik
umpamanya, sepatutnya setiap individu yang terlibat dalamnya, mengikhlaskan
niat kerana Allah, dengan itu maka semua tindakannya dipastikan memenuhi
tuntutan keperluan umat dan rakyat.
Namun, apabila
ahli-ahli politik muslim menempatkan niat yang lain, maka tujuan politik yang
sepatutnya menuju kepada kepentingan umat dan rakyat bertukar menjadi agenda
parti atau peribadi yang akhirnya menyusahkan rakyat. Demikian juga urusan
agama, sepatutnya ilmu Islam itu membimbing manusia memahami kehendak al-Quran
dan Sunnah, tapi telah dijadikan agenda peribadi untuk mengaut untung, atau
perniagaan, atau kuasa atau seumpamanya, akhir agama menjadi alat pencapai
matlamat peribadi dan kumpulan. Maka, politik tidak mengenai tujuan, urusan
agama pun tidak mencapai matlamat.
Sekarang kita melihat
banyak pihak yang seruannya indah, bahkan sebahagian menggunakan nama Islam,
tetapi jalan dan tindakannya amat berbeda dengan ajaran Islam. Apa sebabnya?
Semuanya kerana niat. Slogan memang cantik, ramai yang boleh buat dan di
ada-adakan, namun niat siapa yang tahu?
Tidak ada komentar:
Posting Komentar